Thursday, 17 October 2013

Cabaran Dan Masalah Dalam Memulakan Perniagaan

9/10 sumber pendapatan adalah dari perniagaan dan semakin ramai dikalangan kita yang berbangsa Melayu ini menceburi bidang perniagaan. Kesedaran menceburi bidang perniagaan semakin meningkat dikalangan orang Melayu walaupun bangsa Cina sudah lama menguasai bidang perniagaan.
Sememangnya ingin membuka satu perniagaan yang baru itu mempunyai pelbagai masalah dan cabaran yang perlu dihadapi.
Bukan sedikit cabaran yang perlu dihadapi, bermaca-macam dugaan perlu diharungi untuk memulakan perniagaan. Dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar masalah.

Antara masalah yang dihadapi bakal peniaga baru adalah:

1. Tiada idea hendak memulakan perniagaan - kesudahannya terus berhenti bercita-cita hendak berniaga. Fikir punya fikir, akhirnya terus bekerja makan gaji sehingga pencen.

2. Tak tahu macam mana nak memulakan perniagaan - Idea perniagaan dah ada, tapi cara nak mula tak tahu. Buntu mencari cara hendak memulakan perniagaan. Kekurangan pengalaman adalah antara faktor kebuntuan dalam memulakan perniagaan ini.
Aku pun menghadapi masalah yang sama. Ada idea tapi buntu dalam memulakan perniagaan.

3. Kebuntuan ini didorong oleh kekurangan modal permulaan - memang tak dinafikan kebanyakan peniaga berjaya bermula secara kecil-kecilan, tapi disebabkan ingin berniaga secara kecil-kecilan inilah yang membantutkan fikiran bakal peniaga.
Bukan senang hendak membina 1 perniagaan baru dengan modal yang minima. Maka, hanya mereka yang benar-benar berjiwa besar sahaja mampu berniaga.

4. Sukar mendapatkan sumber kewangan - tidak terhad kepada bantuan kewangan melalui bank atau institusi kewangan. Sumber kewangan boleh juga dijana dari saudara mara atau rakan kongsi, tapi memang sukar bagi kita bangsa Melayu dalam meyakinkan saudara mara untuk meminjam wang. Melainkan saudara mara anda itu cukup rapat dengan anda.
Cuba kita lihat perbezaan bangsa Cina, mereka sedia membantu golongan muda memulakan perniagaan, apakah formula mereka yang perlu kita pelajari agar bangsa Melayu menjadi seperti ini?

5. Kekurangan motivasi dan pendorong - memang nampak ringan faktor ini, tapi cuba bayangkan anda sedang bersemangat hendak memulakan perniagaan dan bercerita tentang rancangan anda kepada keluarga anda, tapi mereka hanya menjawab "Nak watpe berniaga Mat, ada pelajaran tinggi-tinggi, kerja jerla dengan kerajaan tu". Memang jatuh sedikit motivasi anda bukan? Sama macam aku alami jugak.

6. Berniaga adalah perkara luar biasa - kebiasaan kepada lepasan ijazah adalah bekerja dan berlumba-lumba mencari pekerjaan. Begitu juga dengan lepasan sekolah, mereka berlumba-lumba menyambung pelajaran mereka. Memang berniaga luar biasa untuk 2 golongan ini. Jadi, oleh kerana keluar biasaan inilah yang menjadi penghalang kepada bakal peniaga. 99% lulusan ijazah mencari kerja selepas tamat belajar.

Setakat ini sahaja masalah dan cabaran yang boleh di share dan pernah dialami sendiri oleh penulis. Memang banyak cabaran dalam memulakan perniagaan, tapi bila anda sudah berjaya, kesusahan itu menjadi kemanisan akhirnya.

Jika anda juga pernah menghadapi masalah yang sama, bolehlah dikongsikan disini. Dan tidak ketinggalan jika anda ada nasihat berguna kepada bakal peniaga agar tidak mudah putus asa.

Rujukan :

Teknik Langsai Hutang Pinjaman Perniagaan

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan hutang. Terdapat pelbagai jenis hutang, ia boleh berupa hutang budi, hutang barang dan hutang wang. Sehingga ada pepatah Melayu yang menyebut, “Hutang budi dibawa mati”. Begitulah besar kesan hutang dalam kehidupan kita. Manakala hutang wang pula bermaksud wang milik orang lain atau badan lain yang telah dipersetujui lalu dipinjamkan kepada kita. Apabila ia milik orang lain, maka ia harus dikembalikan semula mengikut janji yang telah ditetapkan. Wang yang telah kita gunakan itu wajib dibayar semula.
Setiap usahawan yang berjaya pernah menghadapi hidup yang amat sukar. Sehingga membuat pinjaman daripada pelbagai agensi atau bank. Berkat kesabaran dan usaha yang tidak putus telah membuktikan mereka berjaya melarikan diri dari beban hutang dan mampu menjalani hidup dengan senang. Kerana kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Ia harus disertakan dengan usaha dan kekuatan diri yang paling tinggi. Tetapi masih ramai juga yang gagal membayar hutang. Perkara ini mungkin disebabkan beberapa faktor dalaman diri si pemiutang itu sendiri. Mereka gagal untuk mengubah hidup dan tidak berani menyahut cabaran.
Banyak cara dan teknik yang dilakukan ramai orang untuk membayar hutang yang telah dibuat. Walau bagaimanapun, cara dan teknik ini tidak akan berkesan jika tiada kesedaran dalam diri si pemiutang itu sendiri. Sekiranya kita liat untuk membayar hutang, hidup kita akan dibayangi perasaan tidak senang dan hidup sentiasa diburu kekesalan. Apabila semua hutang perniagaan telah dilangsaikan, kita mempunyai potensi untuk terus mengembangkan perniagaan kerana tidak perlu membayar hutang lagi. Keuntungan yang kita dapat adalah keuntungan bersih. Nama kita juga akan bersih dan tiada lagi pihak yang cuba menikam kita dari belakang kerana hutang yang belum dilunaskan. Selain itu, kita juga tiada musuh, kerana hutang yang belum dibayar menjadi punca kita dibenci orang lain. Agensi yang pernah memberikan kita pembiayaan suatu ketika dahulu berani memberi kita membuat pinjaman lagi kerana hutang lama telah dilangsaikan. Kita juga akan menambah bilangan kawan dan ramai pelabur yang berani melabur kerana rekod kita yang telah bersih daripada hutang. Mari kita pelajari beberapa teknik melangsaikan hutang perniagaan


Berfikiran positif, motivasi diri dan berdisiplin
Nilai-nilai ini mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam membantu kita melunaskan hutang. Katakan kita membuat pinjaman daripada MARA, Majlis Amanah Rakyat sebanyak RM 5000.00 untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan membeli sebuah mesin jahit industri yang kita gunakan untuk menerima tempahan jahit baju dari rumah. Berfikiran positif mampu membuka minda kita untuk melakukan pelbagai pekerjaan yang telah kita rancangkan. Duit hasil tempahan jahit baju secara kecil-kecilan itu boleh kita simpan untuk membayar hutang yang telah dibuat. Motivasi dalam diri sangat mempengaruhi pembayaran hutang. Berfikiran positif dan motivasi perlu disertai dengan disiplin juga. Jika kita tidak disiplin, hutang yang dibuat gagal dibayar. Disiplinkan diri dengan menetapkan bahawa hutang mesti dibayar setiap bulan sehingga habis.

Berusaha dengan lebih gigih
Selain itu, kita mesti berusaha dengan lebih gigih untuk membayar hutang yang dibuat. Hutang perniagaan mempunyai tempoh bagi pembayaran balik. Tetapi, jika cepat kita membayarnya adalah lebih baik. Jika tidak, kita hanya mampu bekerja dengan lebih gigih untuk membayar hutang. Contohnya, dengan memiliki mesin jahit yang telah diberi, kita boleh menerima tempahan menjahit dengan lebih banyak. Hasil kerja yang memuaskan akan menyebabkan pelanggan akan datang lagi kepada kita. Katakan kita hanya memulakan bidang ini secara sambilan sahaja, selepas pulang dari tempat kerja kita boleh sambung menjahit baju apabila tiba di rumah. Semua orang mempunyai komitmen masing-masing, mungkin mahu memasak untuk keluarga, menguruskan anak-anak, atau mengemas rumah. Tetapi jika mahu berjaya kita mesti berusaha untuk mendapatkannya. Azam yang tinggi tidak menjadikan sebarang alasan sebagai batu penghalang untuk berjaya. Jadikan minat terhadap bidang yang diceburi sesuatu yang menyeronokan sehingga kita tidak merasa jemu melakukannya.

Bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil
Teknik yang seterusnya adalah bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil. Semua orang sedia maklum jika pembabitan awal dalam dunia perniagaan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Cukup sekadar mampu melabur untuk pusingan modal yang berikutnya sahaja. Oleh sebab faktor itu, wang yang diterima perlu disimpan dan dibuat bayaran balik. Kita mesti tetapkan jumlah hutang yang boleh kita bayar di awal tempoh pinjaman itu. Mungkin pada bulan pertama kita membayar sebanyak RM 100.00 sahaja. Apabila permintaan semakin meningkat, wang yang diterima juga semakin banyak, tidak salah kita kita membayar dalam jumlah yang banyak. Jika tidak, hutang yang dibuat lambat dilunaskan. Bayar sedikit demi sedikit, lama kelamaan jumlah wang itu akan susut dan habis. Katakan pula kita membayar sebanyak RM 150.00 sebulan dan lakukannya secara konsisten. Sehelai baju kurung boleh disiapkan dalam masa satu hari, dan upah menyiapkannya sekitar RM32 sepasang. Jadi, sebulan kita mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM 960.00 dengan hanya menjahit baju dari rumah. Tetapkan pula untuk membayar sebanyak RM300.00 sebulan, selama 16 bulan hutang itu akan langsai.

Hutang yang paling kecil perlu dibayar dahulu
Dengan teknik ini, jumlah semua hutang perlu dikumpulkan sebagai kiraan besar. Kemudian mula membayar hutang bermula dengan nilai yang paling kecil. Katakan semua hutang berjumlah RM 20000.00. RM 15000.00 baru sahaja dipinjam untuk membuka sebuah kedai menjahit. Baki RM5000.00 adalah pinjaman awal membeli sebuah mesin jahit industri. Setelah setahun menjahit di rumah, timbul keinginan untuk membuka kedai dan mahu menjadikannya sebagai pendapatan sepenuh masa pula. Jumlah yang perlu dibayar dahulu adalah pinjaman RM 5000.00. Apabila hutang itu berjaya dilangsaikan, pinjaman RM 20000.00 pula perlu dibayar. Jadi, kita akan nampak kesannya apabila membayar hutang ini walaupun bermula dengan nilai yang kecil. Perjanjian bayaran balik perlu dipatuhi, contohnya apabila menjadikan bidang ini pekerjaan sepenuh masa kita perlu membayar sehingga RM 450.00 sebulan. Jumlah ini adalah jumlah yang telah dipersetujui semasa memohon pembiayaan dahulu.

Jangan libatkan Ah long
Sanggupkah anda melihat keluarga sendiri sengsara akibat diburu lintah darat? Kerana, hutang yang dipinjam perlu dibayar berkali ganda. Silap-silap nyawa sendiri yang akan melayang. Pinjaman dengan lintah darat sangat mudah diluluskan walau dalam jumlah yang banyak. Lintah darat bukan sahaja memburu si pemuitang, sebaliknya cuba mengapa-apakan ahli keluarga yang terdekat. Berhubungan dengan lintah darat adalah cara yang hanya mengundang masalah. Hanya golongan yang pendek akal sahaja akan membuat pinjaman daripada lintah darat untuk membayar hutang. Dalam ayat yang paling singkat, jangan mengadakan sebarang hubungan dengan lintah darat. Kelak, diri sendiri yang susah.

Kesimpulan
Semua masalah akan selesai sebaik sahaja kita selesai membayar hutang. Selepas itu, kita mampu menarik nafas lega dan mampu hidup dengan senang. Kita juga boleh menjadi seorang menjadi usahawan yang berjaya. Perniagaan kecil sudah boleh diperbesarkan dan sudah mampu untuk mengupah pekerja. Tetapi teknik ini perlu dipatuhi jika tidak mahu dibelenggu hutang. Jika mahu meluaskan lagi perniagaan yang ada, pemohonan pembiayaan boleh dipohon lagi kerana hutang lama sudah dibayar dan rekod kita juga bersih darinya. Kita juga sudah mampu membeli sedikit aset seperti kereta dan rumah. Kesimpulanya, teknik-teknik melangsaikan hutang pinjaman perniagaan ini bermula dari dalam diri kita sendiri. Kekuatan fizikal dan mental diperlukan bagi merealisasikan impian ini.

Rujukan :

Langkah untuk Memupuk Budaya Inovasi dalam Organisasi

Organisasi yang mengamalkan budaya inovasi adalah sangat fleksibel. Setiap ahli dalam organisasi menghormati dan menghargai idea-idea kreatif yang dihasilkan oleh individu kreatif dalam organisasi tersebut. Sumbangan individu tersebut dianggap sebagai suatu yang bererti kepada kumpulan, pasukan dan organisasi. Struktur, sistem dan proses dalam organisasi cuba untuk menyesuaikan diri dengan individu tersebut. Ia adalah perubahan yang berterusan dalam organisasi dan pemimpin akan mengawal hak berinovasi, persoalan dan eksperimen dalam usaha mencapai matlamat. Pemimpin dalam organisasi akan cuba menghasilkan satu persekitaran kerja yang menggalakkan budaya inovasi tersebut.

Langkah pertama ialah mewujudkan satu integrasi menegak yang melibatkan komunikasi secara keseluruhan dalam organisasi tersebut. Pemimpin senior perlu memastikan bahawa terdapat cukup komunikasi menegak, pekerja-pekerja daripada tempat lain, jabatan berlainan, fungsi-fungsi, makmal dan projek, mempunyai cukup peluang untuk berbincang, bertemu dan berkenalan antara satu sama lain. Pemimpin yang berjaya akan memupuk komunikasi menegak dengan sering menghadiri mesyuarat, memerlukan cross-unit keahlian ke atas pasukan-pasukan utama dan memastikan juga bahagian-bahagian yang lain dalam bahagian-bahagian organisasi yang berbeza untuk berbincang antara satu dengan yang lain.

Langkah kedua, memperkukuh juara, para pemimpin perlu menghargai pekerja-pekerja yang memberikan idea. Sebagai contohnya 3M mengamalkan cara ini. Di mana mereka akan mengambil kira kesemua idea itu berharga sehinggalah seseorang itu membuktikan idea tersebut adalah salah. Begitu juga dengan Hewkett-Packard yang mempunyai rekod sebagai pemberi anugerah kepada pekerjanya untuk “meritorious defiance” yang menunjukkan rasa hormatnya kepada pekerja yang mempunyai kebijaksanaan. Penghargaan ke atas satu idea yang kreatif dalam sebuah organisasi boleh di lihat semasa mengadakan mesyuarat. Setiap orang mendengar pendapat orang lain. Mesyuarat biasanya akan digunakan sebagai satu tempat untuk bertukar-tukar pendapat dan idea. Perdebatan digalakkan dan sebarang konflik antara ahli adalah sesuatu yang positif. Persoalan sama ada berkaitan atau tidak dengan matlamat syarikat boleh dikemukakan. Uji kaji digalakkan dan risiko akan ditanggung.

Langkah ketiga, menggalakkan timbal balas, pemimpin perlu memastikan bahawa terdapat cukup mekanisme timbal balas agar apabila seorang pekerja telah menghasilkan sesuatu projek mereka akan mendapat timbal balas daripada pengguna berkenaan keberkesanan projek tersebut. Sebagai contohnya, syarikat seperti GE dan Hewkett-Packard para jurutera akan berjumpa para pengguna untuk mendapatkan respons sama ada idea baru itu berguna kepada mereka.

Langkah keempat, metriks untuk pembelajaran. Pengurus senior akan membentuk satu metrik untuk mendapatkan idea baru. Organisasi yang membuat kaedah ini berharap para pekerja akan bertemu dan berinteraksi dengan pelanggan, menjumpai vendors, menghadiri mesyuarat, menerbitkan dan membaca jurnal. Pemimpin akan menyediakan pembiayaan untuk memastikan cara ini berkesan. Peruntukan tersebut khas kepada mesin dan peralatan.

Langkah yang kelima ialah pemimpin dan ahli dalam organisasi tersebut seharusnya dapat menerima kesilapan dan gembira atas kesilapan tersebut. Inovasi bukan datang dengan sendirinya ianya datang daripada budaya yang dibentuk dan ini memerlukan pengurus senior untuk bekerja keras dalam menjaganya. Kesilapan yang wujud hendaklah di lihat sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Misalnya di syarikat 3M penyelidikan yang dilakukan tidak semuanya mendatangkan kejayaan tetapi daripada kesilapan dan eksperimen yang dilakukan mereka dapat memperbaiki kesilapan tersebut.

Langkah yang seterusnya ialah menghormati individu-individu yang kreatif. Setiap ahli dalam organisasi dibiarkan melakukan perkara yang mereka suka. Mereka dibenarkan membuat jadual kerja sendiri. Mereka dibenarkan untuk datang bekerja awal dan balik awal atau datang lewat dan balik lewat ataupun berada dalam pejabat sepanjang hari. Mereka tidak dipaksa bekerja untuk mengikuti peraturan syarikat atau mesyuarat. Apa yang paling penting ialah komitmen mereka terhadap matlamat organisasi.

Langkah berikut ialah menjunjung matlamat, semua ini bermula dari pihak atasan. Pasukan utama akan bertemu dan membincangkan matlamat bagi menghasilkan keluaran, meningkatkan prestasi, menambah kecekapan, dan keefisienan bagi setiap peringkat saluran penyelidikan dan pembangunan (R&D). Di samping itu, alat mengukur yang digunakan untuk menyokong setiap matlamat juga dibentuk sama ada secara kualitatif atau kuantitatif bagi memastikan setiap ahli berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai matlamat.

Selain itu, usaha juga perlu diadakan bagi memastikan setiap ahli komited terhadap matlamat. Matlamat yang telah dibentuk tidak akan dipaksakan ke atas para pekerja. Matlamat tersebut akan dibincangkan, disesuaikan dan diubah berdasarkan respons dari orang lain.

Di samping itu, sebagai tambahan, sebuah organisasi yang ingin mengamalkan budaya organisasi perlu juga mendapatkan sedikit-sebanyak nasihat daripada pakar. Pemimpin yang baik memahami bahawa soalan yang baik adalah lebih baik daripada satu arahan. Mereka kurang gemar untuk memberitahu para pekerja jawapan yang benar tetapi lebih kepada mencadangkan siapa yang menjadi pakar atau seseorang yang boleh di bawa berbincang bagi mendapatkan maklumat yang cukup sama ada dari dalam organisasi atau tidak.

Jelas di sini bahawa inovasi sebenarnya merupakan satu elemen yang penting dalam sebarang strategi syarikat. Organisasi yang mengamalkan budaya ini akan dapat bersaing dengan organisasi yang lain dalam persaingan yang sengit. Inovasi membantu sebuah organisasi untuk terus menghasilkan produk atau perkhidmatan. Inovasi membantu organisasi yang berada dalam peringkat matang untuk berkembang lagi bagi meneruskan hayat perniagaan tersebut dalam pasaran. Contoh jelas yang boleh diambil iktibar ialah seperti Microsoft di bawah pimpinan Bill Gates, beliau sentiasa berinovasi dalam industri perisian komputer dengan mempelbagaikan produk perisian dan meningkatkan lagi keupayaan perisian komputernya. Sehingga sekarang syarikat Microsoft menjadi ‘market leader’ dalam industri tersebut dan orang Jepun belum mampu meniru beliau dalam menghasilkan produk baru yang melibatkan perisian komputer.
 Rujukan : http://exikmkotakinabalu.blogspot.com/2009/02/memupuk-budaya-inovasi-dalam-organisasi.html



Budaya Keusahawanan - Inovasi dalam Organisasi

Perkataan inovasi berasal daripada bahasa Latin dan pada asalnya membawa maksud ‘pembaharuan’. Kebanyakan orang mendefinisikan inovasi sebagai pembangunan teknologi baru, atau aplikasi sesuatu teknologi dalam kegunaan tertentu. Dalam kertas kerja ini inovasi didefinisikan sebagai kebolehan untuk mencipta kemahiran di dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan peluang untuk meningkatkan atau memperkayakan taraf hidup masyarakat. Harvard’s Theodore Levitt mengatakan “innovation is doing new things”. Seorang usahawan yang berjaya itu perlu berfikir dan melakukan sesuatu yang baru atau memperbaharui yang lama dengan cara/jalan yang baru.

Drucker, Peter Ferdinand merupakan tokoh yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan inovasi dan ini diakui oleh beberapa pihak seperti Wall Street Journal dan Fortune.

“The dean of this country’s business and management philosophers.”
Wall Street Journal. 

“Any book by Drucker is rewarding, and it is impossible to read the man without learning a lot...... Drucker’s ideas continue to display a force and resonance that leave him pretty much in a class by himself.”
Fortune.

Tujuan inovasi ialah untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan baru bagi para pengguna dengan teknologi sebagai terasnya. Namun demikian sesetengah orang berpendapat bahawa inovasi tidak semestinya melibatkan teknologi. Inovasi juga didefinisikan sebagai penciptaan cara-cara baru untuk menyampaikan nilai kepada pengguna. Prof. Hirotaka Takeuchi iaitu profesor bidang pemasaran dan perdagangan antarabangsa di Universiti Hitotsubashi mengatakan untuk menghasilkan inovasi, tidak semestinya ada individu-individu genius di dalam sesebuah organisasi korporat seperti yang dilakukan di Barat.

Di Jepun, inovasi dihasilkan oleh pasukan-pasukan projek kreatif yang dianggotai oleh para pengurus pertengahan. Mereka terdiri daripada para jurutera, para pengurus pengeluaran, para jurujual dan pengurus kualiti yang bekerja bersama-sama sejak mula hingga akhir dalam proses penciptaan inovasi. Di Barat, mereka lebih kepada penggunaan pasukan-pasukan fungsional yang berbeza-beza. Di Amerika, para pakar telah mencipta pelbagai cara penyelidikan dengan tujuan syarikat-syarikat dapat mencipta dan menjual produk baru yang berjaya dalam pasaran. Antara kaedah yang digunakan ialah survei, kumpulan fokus dan soal-selidik.

Di dalam syarikat-syarikat jepun, pasukan-pasukan projek kreatif berfungsi dengan berkesan kerana beberapa faktor. Pertama, pasukan-pasukan itu diberi matlamat yang jelas dan tepat berkenaan apa yang mesti mereka cipta atau hasilkan. Kedua, mereka diberi autonomi untuk mencapai matlamat bagi tugas yang dijalankan. Ketiga, anggota pasukan-pasukan itu dipilih sendiri oleh pucuk pimpinan syarikat.

Kita melihat di dalam syarikat Sharp, mereka menubuhkan pasukan-pasukan khas yang ditubuhkan untuk projek-projek mendesak atas arahan pemimpin. Apabila sesuatu projek itu disebut sebagai projek strategik yang penting, setiap anggota pasukan projek berkenaan di beri lencana emas untuk dipakai. Apabila ada mana-mana kakitangan syarikat itu diminta oleh pemakai lencana emas supaya membuat sesuatu tugas yang susah, orang itu akan cepat-cepat dan bermati-matian melakukan kerja tersebut.

Untuk menerangkan perkara ini, satu contoh dapat digunakan. Syarikat Matsushita Electric dulu lebih dikenal dengan gelaran maneshita, yang bermaksud “tukang tiru”. Walaupun ia sebuah syarikat yang besar dan berjaya ia bukan sebuah syarikat inovasi. Tetapi, sejak ia berjaya mencipta sebuah mesin pembuat roti automatik yang pertama di dunia dan diberi jenama Home Bakery, budaya syarikat itu bertukar sama sekali. Semenjak itu budaya korporat Matsushita Electric berubah daripada budaya meniru kepada budaya inovasi.

Mengkaji proses inovasi dalam suasana organisasi mewakili satu peralihan dari model resapan klasik dari segi beberapa perkara penting. Misalnya, proses inovasi dalam organisasi biasanya dianggap berjaya jika proses itu menyebabkan pelaksanaan (termasuk menginstitusikan idea baru itu), bukan hanya kepada keputusan untuk menerima sahaja. Tambahan pula, seperti yang disebutkan individu memainkan peranan yang aktif, kreatif dalam proses inovasi dengan memadankan inovasi itu dengan masalah organisasi yang dipersepsikan dan mungkin semasa mencipta semula inovasi itu.

Sebuah inovasi tidak patut dianggap sebagai satu yang tetap, tidak varian dan unsur statik dalam proses inovasi, tetapi juga sebagai idea yang longgar dan sebagai yang mudah disesuaikan yang seterusnya akan di definisi dan di definisi semula apabila proses inovasi itu berkembang. Untuk mencipta dan melaksanakan inovasi, Peter F. Drucker menyebut beberapa perkara yang mesti dilakukan, perkara-perkara yang lebih baik jangan dibuat, dan beberapa syarat.

Perkara-perkara yang mesti dilakukan:
Inovasi adalah bersifat konseptual dan perseptual.
 
Di dalam setiap inovasi terkandung konsep-konsep baru dan persepsi-persepsi baru. Inovasi bukan hasil analisis semata-mata. Ia melibatkan ketiga-tiganya, iaitu konsep, persepsi dan analisis fakta. Seorang inovator hendaklah terlebih dahulu mencipta konsep dan persepsi baru.

Inovasi adalah pengenal pasti peluang-peluang baru.
Para inovator didorong oleh peluang-peluang mencari keuntungan dengan cara memenuhi keperluan para pengguna. Untuk mengenal pasti peluang-peluang itu, mereka melakukan pemerhatian pada trend-trend, masalah-masalah dan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

Untuk mencipta inovasi yang efektif, inovasi itu hendaklah bersifat simple.
Sesuatu inovasi hendaklah mempunyai fokus. Buat satu perkara saja. Kalau inovasi itu melibatkan macam-macam perkara, pengguna mudah keliru; kalau rosak pula, ia sukar diperbaiki; harganya pun mahal.

Inovasi yang efektif bermula secara kecil-kecilan.
Cita-cita yang terlalu besar akan menggagalkan usaha inovasi. Tujuan inovasi hendaklah spesifik. Kita perlu melaksanakan perkara yang sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu.

Aplikasi adalah faktor penting dalam inovasi. Jangan hanya memikirkan apa yang cuba dilakukan oleh inovasi itu. Fikirkan juga apa yang dapat mendorong supaya orang yang sepatutnya menggunakan inovasi itu, mahu menggunakannya. Kalau tidak, nanti akan berlaku keadaan di mana inovasinya betul, tetapi bentuknya salah, seperti yang berlaku kepada alat pembuka durian yang pernah dicipta pada satu masa dahulu. Hingga sekarang orang lebih suka menggunakan pisau biasa untuk membuka durian.

Inovasi-inovasi yang cuba mencipta kegunaan-kegunaan baru dan memasuki pasaran-pasaran baru mestilah dibuat berpandukan tujuan teknikal yang jelas, tepat, dan reka bentuknya memenuhi aplikasinya.

Jangan cuba membuat inovasi dalam banyak bidang. Kita boleh mempelbagaikan perniagaan, tetapi jangan mempelbagaikan inovasi. Jangan cuba melakukan semua perkara serentak. Inovasi memerlukan banyak sumber yang mesti diusahakan untuk mencapai kejayaan. Para inovator yang berjaya jarang berkarya lebih daripada satu bidang. Sebagai contoh, Thomas Edison, inventor yang memiliki lebih daripada seribu paten, hanya berkarya dalam bidang elektrik. Inovasi memaksa adanya kerja keras, kegigihan, ketabahan, tekad, dan kepakaran yang tinggi. Kepelbagaian inovasi akan mencairkan itu semua dan menempah kegagalan.

Perkara-perkara yang mesti dielakkan:
1. Jangan jadi terlampau cerdik. Semua jenis inovasi akhirnya akan digunakan oleh orang-orang biasa. Ada kalanya inovasi itu akan digunakan oleh orang-orang bodoh dan yang separuh bodoh. Kalau inovasi itu terlampau cerdik, ia pasti gagal. Kalau jurutaip terpaksa belajar sains komputer terlebih dahulu sebelum dia dapat menggunakan komputer, komputer itu pasti gagal.

2. Jangan mencipta inovasi untuk masa depan. Inovasi hendaklah dicipta untuk masa sekarang. “Apakah keperluan sekarang?”, itu yang mesti dijawab oleh inovasi, bukan “Apakah yang diperlukan 10 tahun dari sekarang?”. Memang inovasi boleh mempunyai kesan yang lama, tetapi untuk berjaya inovasi itu mesti ada aplikasi yang serta-merta.

Sebagai contohnya, komputer mula diperkenalkan dalam tahun 1940-an. Dalam tahun 1970-an barulah komputer digunakan secara besar-besaran dalam bidang perniagaan, iaitu kira-kira 25 tahun kemudian. Model-model komputer yang awal tidak dicipta untuk tujuan perniagaan. Model-model itu dicipta untuk memenuhi keperluan-keperluan pada tahun 1940-an iaitu kerja-kerja kira-mengira saintifik, kemudian menyediakan bayaran gaji, kemudian untuk mencipta alat komputer bagi melatih juruterbang dan seterusnya. Dua puluh lima tahun esok akan timbul keperluan-keperluan baru bagi komputer, tetapi buat hari ini, mereka mencipta komputer yang diperlukan pada hari ini.

Selain itu, sikap, nilai, norma dan struktur organisasi yang sesuai merupakan pra-syarat dalam menuju inovasi yang berjaya. Kejayaan kebanyakan syarikat perniagaan pada hari ini adalah disebabkan oleh adanya penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan di dalam sesebuah organisasi itu bagi mewujudkan inovasi. Dalam hal ini, kita boleh lihat 2 langkah awal dalam ‘kandungan asas’ kejayaan inovasi pada masa sekarang:

a) Komitmen pihak atasan (top management). Keseluruhan program atau projek yang dijalankan adalah di sokong sepenuhnya oleh pihak atasan. Sebagai contohnya, persaingan di dalam industri kalkulator, pihak pengurusan pertengahan Canon yang berjaya mencipta inovasi terhadap kalkulator kecil yang pertama di dunia telah mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pengurusan atasan tetapi pihak pengurusan atasan telah menolak cadangan supaya penemuan itu dikomersilkan akhirnya Canon telah dikalahkan oleh pesaingnya daripada Casio dan Sharp. Hanya selepas Canon melihat pihak Casio mengaut keuntungan yang banyak barulah ,mereka cuba memasuki pasaran tetapi itu pun dalam keadaan tergesa-gesa dan akhirnya mereka tewas dan mengalami kerugian.

b) Projek Juara, inovator yang bersemangat untuk memenuhi keperluan inovasi. Ianya mewujudkan tanggungjawab kepada reka bentuk program inovasi tersebut.
 

Membentuk Budaya Inovasi Usaha membentuk budaya ini merupakan tugas pemimpin dalam sebuah organisasi. Inovasi perlu dianggap sebagai satu strategi utama organisasi. Bagi menghasilkan budaya inovasi pada pelbagai peringkat dalam organisasi, tenaga dan idea-idea individu kreatif perlu difokuskan kepada mencapai matlamat organisasi. Kumpulan atau pasukan tertentu digunakan sebagai alat untuk mencapai cita-cita ini. Sebagai Contoh, Toyota telah mencipta sistem pengeluaran yang disebut JIT (Just In Time) atau ‘tepat-pada-masa’ (TPM). Dalam sistem ini, kilang Toyota beroperasi tanpa mempunyai inventori barang-barang separuh siap. Setiap tahap kerja pengeluaran mesti menerima bekalan barang-barang yang dikehendaki tepat pada masa dan dalam jumlah yang tepat. Toyota tidak perlu berbelanja untuk menyediakan stor atau penyeliaan stor. Sistem ini membantu Toyota mengurangkan kos dan menambah jumlah jenis produk yang dapat dikeluarkan.

Semua usaha ini memerlukan keseimbangan keperluan di antara individu, pasukan dan orang yang mempunyai kuasa dalam organisasi tersebut. Terdapat beberapa prinsip utama iaitu:

1. Keputusan berdasarkan matlamat yang jelas pada setiap masa.
2. Para pekerja sedar bahawa membantu pekerja lain menjadi inovatif adalah sebahagian daripada tugas mereka.
3. Para pekerja sanggup berkongsi idea kerana mereka akan mendapati pekerja lain akan membentuk dengan pelbagai cara dan akhirnya menguatkan idea tersebut.
4. Setiap orang dalam pasukan tersebut merasakan mereka masing-masing mempengaruhi situasi dalam kumpulan.
5. Eksperimen dihargai dan diharapkan daripada setiap pekerja dalam organisasi.
6. Kesilapan dianggap sebagai pengajaran. Pembelajaran digalakkan.
7. Para pekerja percaya bahawa pekerja yang lain akan mendengar, belajar daripada dan memberitahu mereka.
8. Inovasi adalah sebagai suatu yang perlu dicari bukan sebagai suatu yang perlu diurus.
 

Budaya Keusahawanan - Kreativiti dan Inovasi

Kreativiti dan inovasi merujuk kepada melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Kreativiti dan inovasi juga boleh dikaitkan dengan pembaharuan, penambahbaikan, penciptaan dan penemuan.
Konsep kreativiti dan inovasi ini adalah luas dan boleh diguna pakai di dalam pelbagai bidang dan keadaan, tidak terkecuali bidang perniagaan.

Bisnes Adalah Kreativiti dan Inovasi

Dunia perniagaan berkait rapat dengan kreativiti dan inovasi. Tanpa kreativiti dan inovasi, dunia perniagaan akan kekal statik tanpa sebarang pembaharuan dan perubahan.
Justeru, usahawan yang membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan mereka, akan lebih bergerak maju dan berjaya berbanding usahawan yang kekal dengan model perniagaan tradisional, yang hanya mementingkan jualan semata-mata.

Kreativiti dan inovasi di dalam dunia perniagaan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Antaranya melalui produk, perkhidmatan, jenama, model perniagaan dan pemasaran.
Dengan kreativiti dan inovasi, sebarang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, akan membentuk keunikan dan berbeza dengan produk atau perkhidmatan yang sama yang telah sedia ada di pasaran. Di Malaysia, kita mungkin mempunyai lebih 100 pengeluar kicap.
Tetapi apa yang membezakan 100 pengeluar kicap tadi sehingga pengguna dapat membezakan di antara kicap milik Abu dan kicap milik Ali? Jawapannya adalah sejauh mana kreativiti dan inovasi digunakan bagi menonjolkan kelainan dan keunikan produk masing-masing.

Kreativiti Meningkatkan Reputasi Bisnes – Google Inc.


Bagi menjelaskan bagaimana kreativiti dan inovasi boleh membawa perubahan besar terhadap kedudukan dan reputasi perniagaan, saya bawakan contoh syarikat Google Inc. Semua sedia maklum, terdapat banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan carian laman web dan perkhidmatan emel.

Antaranya Yahoo dan Bing untuk enjin carian, dan Yahoo Mail dan Hotmail untuk perkhidmatan emel. Namun, apa yang membezakan enjin carian dan perkhidmatan emel Google dengan enjin carian dan perkhidmatan emel dari syarikat lain?

Jawapannya sekali lagi berkait rapat dengan kreativiti dan inovasi. Google memberi nafas baru kepada dunia carian web dengan menggabungkan pelbagai metod dan sumber carian seperti carian gambar, peta, berita, buku dan sebagainya di dalam satu portal carian.
Malah, enjin carian Google juga diintegrasikan bersama perkhidmatan emel di dalam satu akaun yang dikenali sebagai Google Account. Jika anda telah memiliki Google Account, anda boleh mengakses hampir ke semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google seperti Gmail, Blogger dan YouTube.
Bagi perkhidmatan emel pula, Google telah melakukan satu inovasi yang cukup menakjubkan di mana fungsi emel dan teknologi pengkomputeran awan, atau cloud computing telah gabungkan.
Setiap fail lampiran yang berbentuk dokumen seperti dokumen berformat PDF, Microsoft Word, Excel dan Powerpoint tidak perlu dimuat turun untuk melihat atau membuka kandungannya. Kita hanya perlu klik pada pautan ‘view’ atau ‘lihat’ pada lampiran,  dan satu tetingkap atau tab akan dibuka bagi memaparkan dokumen di dalam lampiran tersebut.
Tidak berhenti setakat itu, dokumen dalam lampiran tadi boleh diubah suai menggunakan perkhidmatan Google Docs, yang mampu berfungsi sebagaimana perisian pejabat seperti Microsoft Office atau Open Office.
Dokumen tadi pula boleh disimpan di dalam storan yang disediakan oleh perkhidmatan Google Docs ini. Ini bermakna, kita boleh melakukan tugasan pejabat harian hanya menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google. Apa yang perlu hanya sambungan internet.
Itu antara bentuk kreativiti dan inovasi yang dilakukan oleh Google bagi memaparkan kelainan dan membentuk keunikan terhadap perkhidmatan enjin carian dan perkhidmatan emel yang ditawarkan.

Memusnahkan Pesaing – Kuasa Inovasi Google


Ketika ini, Google jauh mengungguli dunia carian web dan perkhidmatan emel berbanding pesaing-pesaingnya seperti Yahoo dan MSN. Malah ada di antara pesaing-pesaing Google ini yang cuba meniru konsep perkhidmatan, dan model perniagaan, yang dilakukan oleh Google dengan tujuan untuk menarik minat pengguna.
Walaubagaimanapun, Google tetap menjadi pilihan pengguna berdasarkan reputasi dan nilai kreativiti dan inovasi yang dipeloporinya. Begitulah berkuasanya kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan.
Justeru, jika kita merupakan seorang pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan, cuba terapkan nilai kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan anda. Galakkan pekerja-pekerja kita memberikan sebarang idea bagi menyemai elemen kreativiti dan inovasi.
Kreativiti dan inovasi bermula dengan idea. Justeru, latih diri kita dan orang di sekitar kita untuk menghormati dan menghargai idea yang dilontarkan oleh orang lain kerana kita tidak tahu, idea tersebut mungkin akan membawa perubahan besar terhadap perniagaan kita.

Kreativiti dan Inovasi – Punca Survival Bisnes

Kesimpulannya, kreativiti dan inovasi amat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya maju dan kompetitif agar dapat bersaing dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini.
Mereka yang mengabaikan nilai-nilai kreativiti dan inovasi akan ketinggalan dan akan terus berada di belakang pesaing-pesaing yang terus-menerus mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang inovatif selaras dengan perkembangan dunia semasa.




Kepentingan Business Network Atau Rangkaian Perniagaan

Sedarkah anda bahawa business network atau rangkaian perniagaan merupakan salah satu elemen terpenting yang mesti diwujudkan untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya. Perkara ini telah diakui oleh semua usahawan yang telah berjaya.
Business network atau rangkaian perniagaan merupakan hubungan yang wujud diantara beberapa individu di dalam sesebuah perniagaan termasuklah peniaga, pembekal atau pemborong, dan pelanggan. Namun begitu kebanyakan usahawan-usahawan sekarang seakan-akan terlepas pandang atau sudah tidak mementingkan perkara tersebut.
Perniagaan pada zaman sekarang sudah tidak seperti zaman dahulu lagi. Sudah banyak perniagaan yang wujud di sekeliling kita dan memaksa semua para usahawan untuk bersaing sesama mereka. Jadi untuk mengurangkan persaingan ini, para usahawan perlu mewujudkan usahasama atau join venture sesama mereka. Secara tidak langsung dengan adanya rangkaian perniagaan yang baik ini sesebuah perniagaan itu juga dapat berkembang dengan lebih cepat.
Selain dapat mengurangkan persaingan, sebenarnya hubungan rangkaian perniagaan ini juga dapat membantu para usahawan untuk melariskan stok-stok mereka disamping bertukar-tukar pelanggan-pelanggan yang sedia ada di antara mereka. Pada masa yang sama juga mereka boleh memperkenalkan perniagaan mereka kepada pelanggan-pelanggan yang baru iaitu pelanggan kepunyaan rakan niaga mereka.
Namun begitu, rangkaian perniagaan bukan sahaja tertumpu di kalangan usahawan atau peniaga sahaja. Malah hubungan yang baik ini perlulah diteruskan juga bersama pelanggan-pelanggan yang sedia ada. Ini penting untuk memastikan perniagaan mereka sentiasa laris.
Apa yang akan terjadi jika pelanggan mereka hanya membeli sekali sahaja daripada mereka dan tiada lagi pelanggan-pelanggan baru yang mahu membeli daripada mereka? Bukankah ini perkara yang merugikan kerana kos untuk menarik pelanggan-pelanggan baru adalah tersangat-sangat tinggi berbanding kos untuk mengekalkan pelanggan-pelanggan yang sedia ada.
Oleh itu, anda sebagai usahawan atau peniaga perlulah menitikberatkan soal hubungan yang baik di dalam rangkaian perniagaan anda supaya perniagaan anda boleh berkembang maju. Dengan ini anda bukan sahaja dapat membantu perniagaan anda malah perniagaan rakan-rakan anda yang lain juga.
Rujukan :

Kelebihan Perniagaan Pemasaran Rangkaian (Network Marketing)

Perniagaan Pemasaran Rangkaian (Network Marketing). Apakah kelebihannya?. Kenapa mereka yang telah berjaya mengesyorkan perniagaan ini kepada orang biasa seperti kita? Kenapa Donald Trump dan Robert Kiyosaki akan memilih Pemasaran Rangkaian jika mereka tidak punya apa-apa? Berikut saya senaraikan kelebihan-kelebihannya, jika anda ingin memulakan sebuah perniagaan yang mudah, risiko rendah tetapi pulangannya tinggi .

1.  Jumlah pelaburan yang rendah – Kebanyakan syarikat Pemasaran Rangkaian hanya mengenakan caj yang nominal untuk anda menjadi ahli/pengedar iaitu kebanyakannya di bawah RM500. Ingat – Anda boleh menganggap caj ini sebagai Lesen yang perlu ada untuk memulakan perniagaan anda!

2.  Kos stok/khidmat awal yang rendah, tidak membebankan – Terdapat banyak syarikat yang menawarkan stok yang tidak membebankan anda. Ada juga syarikat yang tidak menawarkan stok untuk dijual. Jangan terperangkap dengan stok yang banyak, mahal dan akhirnya tidak boleh dijual. Ingat – Anda perlu bijak memilih produk, kuantiti dan nilai stok produk anda.

3.   Risiko yang minimum - Bayaran sebagai ahli/pengedar dan kos stok yang rendah ini tidak memberi risiko yang besar untuk anda memulakan perniagaan jika dibandingkan dengan jenis perniagaan lain seperti kedai francais, kedai makan dan lain-lain yang memerlukan modal yang lebih tinggi. Hatta kos untuk membuka gerai pondok menjual burger sekalipun kadang-kadang lebih tinggi dan lebih berisiko dari perniagaan Pemasaran Rangkaian ini .

4.  Berkongsi perniagaan dengan mereka yang arif - Apabila anda menyertai sesebuah syarikat pemasaran rangkaian, anda sebenarnya memilih rakan niaga perniagaan. Pilihlah rakan niaga yang boleh anda jadikan tempat bernaung untuk jangka panjang dan yang akan membawa kemajuan kepada perniagaan anda. Pilihan syarikat rakan niaga untuk memulakan perniagaan adalah hak anda!

5.     Sebagai pekerjaan sampingan – Apakah yang lebih baik daripada memulakan perniagaan anda secara sambilan disamping dapat mengekalkan pekerjaan tetap anda?

6.    Masa yang fleksibel – Perniagaan ini dapat dijalankan pada bila-bila masa setiap hari mengikut pilihan anda sendiri.

7.  Bekerja secara Online dan/atau Offline - Anda boleh melakukan kerja ini secara tradisional iaitu pertemuan ‘face to face’ atau secara ‘online’ menggunakan internet sebagai perantaraan. Anda boleh menggabungkan kedua-dua cara ini atau pilih cara yang anda selesa. Pelajari cara untuk melakukannya dan gunakannya dengan efektif.

8. Tidak memerlukan pengalaman atau taraf pendidikan yang khusus – Seseorang yang berpendidikan rendah dan tanpa pendidikan formal dalam pengurusan perniagaan juga mampu berjaya sebagai usahawan Pemasaran Rangkaian. Terdapat juga ramai professional yang telah memilih untuk melakukan perniagaan ini dan berjaya.

9.    Bekerja Di mana-mana – Tidak memerlukan pejabat spesifik. Anda boleh mengendalikan perniagaan ini di rumah, malah di kedai-kedai mamak atau online cafe.

10. Tidak memerlukan pekerja tambahan – Anda tidak perlu risau untuk membayar upah pekerja atau berhadapan dengan masalah yang sering ditimbulkan oleh pekerja. Pekerja tidak mempunyai impian sama seperti anda!

11.  Aliran tunai perniagaan yang stabil – Terdapat pelan imbuhan perniagaan yang membayar anda pada bila-bila masa, secara mingguan, bulanan dan juga bonus perniagaan pada setiap suku tahun. Anda tidak perlu risau tentang aliran tunai (‘Cash Flow’) perniagaan anda. Kebebasan masa untuk menikmati pendapatan perniagaan ini bermakna anda tidak perlu menunggu sehingga berpuluh tahun untuk mengecap kejayaan. Jika anda berusaha bersungguh-sungguh serta komited, anda pasti berjaya dalam masa yang singkat.
                                 
12.  Berpotensi memperolehi pendapatan perniagaan tanpa had – Perdapatan tanpa had juga dikenali sebagai pedapatan residual yang mana anda usahakan sekali tetapi hasilnya dikecapi bagi jangka panjang. Sesiapa sahaja mampu mendapatkannya, jika mereka “benar-benar” inginkannya.

13.  Tabung persaraan – Pendapatan perniagaan ini boleh mencecah lima, enam angka dan terdapat pelan yang membayar anda sehingga hari-hari tua anda dan ini boleh dijadikan sebagai tabung persaraan anda.

14.  Pembangunan diri yang komprehensif - Sistem latihan yang merangkumi pembangunan diri, motivasi dan pelbagai konsep perniagaan lazimnya menjadi teras latihan yang akan diajar kepada pengedar-pengedar. Ini merupakan salah satu faedah pembangunan diri yang bakal diperolehi.

15.  Hubungan persahabatan yang berkekalan – Anda akan mempunyai ikatan persahabatan yang berterusan bersama pengedar lain samada ‘upline’  atau ‘downline’, mempunyai perkaitan kumpulan dan matlamat perniagaan yang sama. Ingat – Perniagaan Pemasaran Rangkaian  adalah berdasarkan perniagaan membina hubungan!

16.  Masa rehat yang lebih panjang, kerap dan bila-bila masa sahaja -Perniagaan ini tidak memerlukan masa bertugas yang tetap membolehkan anda merencana percutian anda pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu memohon cuti daripada majikan.

17.  Perniagaan yang boleh diwariskan - Terdapat pelan dalam Pemasaran Rangkaian yang membolehkan anda mewariskan perniagaan ini kepada anak-anak anda.

Jika anda inginkan sebuah perniagaan, Pemasaran Rangkaian telah menyediakan anda satu platform yang mudah untuk membawa anda kepada kejayaan. Cuma usaha dan komitmen masih tetap menjadi elemen penting untuk mencapainya. Pilihan ditangan anda..

Rujukan :