SEJAK pertengahan tahun 1992, kerajaan telah
menerima pakai pendekatan pembangunan francais sebagai salah satu cara untuk
meningkatkan bilangan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
(MPPB) yang merupakan antara agenda terpenting di dalam Dasar Pembangunan Nasional
yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru.
Rentetan daripada itu, satu bahagian khusus yang
dikenali sebagai Bahagian Pembangunan Francais telah ditubuhkan di bawah Unit
Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya, Program
Pembangunan Francais (PPF) telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana
Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Januari 1994.
Oleh yang demikian, dari segi sejarah, penubuhan
Bahagian Pembangunan Francais dan pelancaran PPF dibuat sebelum diwujudkan
Kementerian Pembangunan Usahawan, yang kemudiannya menjadi penaung kepada
kedua-duanya mulai 8 Mei 1995. Soalnya kenapa francais? Apalah sangat
kelebihannya jika dibandingkan dengan pendekatan perniagaan atau program
pembangunan usahawan yang lain?
Apa
itu francais?
Francais adalah satu kaedah pemasaran dan
pengedaran yang berasaskan hubungan dua pihak iaitu, francaisor (pemilik dan
pemberi hak) dan francaisi (penerima hak). Hak yang diberikan ini adalah bagi
tujuan menjalankan perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga milik
francaisor berkenaan berasaskan suatu sistem tertentu, di lokasi atau kawasan
yang ditetapkan dan dalam jangkamasa yang ditentukan, sebagaimana yang
termaktub di dalam perjanjian francais yang ditandatangani.
Kelebihan sistem francais
Umumnya, kelebihan rangkaian perniagaan yang
menggunakan sistem francais adalah berasaskan prinsip 5C iaitu; Consistency
(keseragaman) Competitiveness (daya saing) Convenience (keselesaan) Cleanliness
(kebersihan) Courtesy (layanan mesra)
Perniagaan francais diasaskan kepada hubungan
menang-menang di antara dua entiti usahawan, iaitu francaisor dan francaisi.
Hubungan ini secara amnya menghasilkan satu bentuk perkongsian pintar di mana
kedua-dua pihak memperoleh manfaat dan kelebihan masing-masing.
Kelebihan kepada francaisor
Bagi francaisor, di antara kelebihan sistem
francais kepada mereka adalah;
Menerusi rangkaian sistem francais, francaisor
dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan operasi dan menikmati skala ekonomi
melalui pembelian secara pukal serta perkongsian kos pengiklanan dan promosi
secara berpusat. Ini memungkinkan rangkaian berkenaan menawarkan harga barangan
yang lebih kompetitif serta melaksanakan aktiviti pengiklanan dan promosi
dengan lebih agresif;
Francais juga memungkinkan francaisor menembusi
pasaran yang luas dengan lebih cepat dan efektif (termasuk pasaran luar negara)
tanpa melibatkan modal yang besar, kerana sebahagian besar pelaburan ditanggung
oleh francaisi;
Menerusi francais juga, francaisor dapat
menikmati rangkaian pemasaran produk dan perkhidmatannya yang lebih besar serta
memungkinkan peningkatan pengeluaran dan pengedaran yang lebih pesat;
Melalui sistem francais, francaisor juga dapat
mengelak daripada mengadakan struktur kakitangan yang besar, termasuk membayar
gaji pengurus dan kakitangan cawangan yang ramai. Tempat mereka diganti dengan
francaisi-francaisi yang merupakan pemilik dan pengusaha perniagaan mereka
sendiri yang pastinya mempunyai motivasi dan semangat juang yang lebih tinggi;
Menerusi sistem itu, francaisor dapat
memindahkan sebahagian tanggungjawab menjalankan kajian berdaya maju, pemilihan
lokasi, latihan kakitangan, pengiklanan tempatan dan lain-lain kerenah
pentadbiran kepada pemilik dan pengusaha tempatan, iaitu francaisi.
Namun di sebalik kelebihan-kelebihan tersebut,
terdapat beberapa faktor dan cabaran yang perlu diberi pertimbangan oleh
francaisor, antaranya;
- Membangunkan sistem francais bukanlah sesuatu
yang mudah, malah ia memerlukan masa yang banyak dan membabitkan kos yang
tinggi. Secara purata pembangunan sesuatu sistem francais baru akan memakan
masa di antara 5 hingga 10 tahun dengan melibatkan kos di sekitar RM200 ribu
hingga RM1 juta bergantung kepada jenis produk berkenaan.
- Francais adalah satu sistem saling
kebergantungan. Meskipun pelantikan francaisi adalah menerusi perjanjian secara
kontrak, namun proses pemilihan francaisi adalah sangat kritikal bagi
memastikan hanya mereka yang sesuai dan memenuhi keperluaan sahaja dilantik.
- Perkongsian francaisor-francaisi juga
memungkinkan perkongsian rahsia-rahsia perniagaan yang mempunyai risiko ditiru
dan bertindih.
- Rangkaian perniagaan yang besar pastinya
memerlukan perkhidmatan sokongan serta pasukan pengurusan dan pengawalseliaan
yang berkesan.
Kelebihan kepada
francaisi
Bagi francaisi, di antara kelebihan yang
diperoleh menerusi perniagaan francais ialah;
Menjalankan sistem perniagaan yang telah
terbukti berdayamaju dan sudah mempunyai jenama di pasaran.
Menjadi
sebahagian daripada rangkaian perniagaan yang besar serta mendapat manfaat
skala ekonomi.
Menceburi perniagaan besar dengan modal yang
relatifnya kecil;
Memasuki perniagaan tanpa perlu pengalaman yang
luas di dalam bidang berkaitan, lantaran sistem perniagaan, program latihan dan
sokongan disediakan oleh francaisor secara berterusan.
Namun begitu, seperti juga francaisor, francaisi
juga perlu menimbangkan faktor dan cabaran seperti berikut;
Yuran francais selalunya tidak murah;
Sistem francais tidak memberikan kebebasan
sepenuhnya kepada francaisi, kerana mereka terikat kepada perjanjian francais
dan perlu mematuhi sistem operasi yang telah ditetapkan;
Seperti juga perniagaan lain, perniagaan
francais juga memerlukan komitmen yang tinggi dan kerja kuat;
Bakal francaisi perlu membuat penilaian dan
kajian yang mendalam terhadap sesuatu sistem francais sebelum melibatkan diri
di dalam perniagaan berkenaan. Bakal francaisi juga perlu berhati-hati dengan
sesetengah francaisor jenis koboi yang hanya berminat untuk mengaut keuntungan
hasil penjualan francais tanpa menyediakan produk, sistem dan infrastruktur
sokongan yang mantap.
Kelebihan kepada pengguna
Sementara itu, rangkaian perniagaan francais
juga umumnya menawarkan kepada pengguna perkhidmatan yang moden, sistematik,
boleh dipercayai dan mempunyai ciri-ciri prinsip 5C.
Sumbangan kepada ekonomi negara
Perniagaan francais mampu menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi negara menerusi aktiviti pembangunan usahawan serta
pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baru. Pertumbuhan rangkaian
perniagaan francais juga mampu menyediakan peluang pekerjaan, kerana umumnya
perniagaan kecil dan sederhana lebih mudah dan cepat dari segi pengambilan
tenaga kerja.
Sistem francais juga boleh membantu mewujudkan
budaya baru di dalam menjalankan perniagaan dengan penekanan diberikan kepada
aspek-aspek disiplin yang tinggi, perkhidmatan pelanggan yang berkualiti,
kebersihan dan keseragaman. Pemantapan budaya perniagaan seperti ini penting
bagi membolehkan perniagaan tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Membangunkan
usahawan francais
Meskipun begitu, membangunkan perniagaan dan usahawan francais bukanlah satu perkara yang mudah. Perniagaan francais secara relatifnya masih baru di negara ini dan pastinya dalam proses pembangunan sebegini, terdapat masalah percubaan, kematangan dan salah tanggapan. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama erat Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan terus giat melaksanakan program-program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri kempen jalanan (road-shows) yang meliputi seminar dan pameran ke seluruh negara, kursus dan latihan pengurusan perniagaan francais serta persidangan dan ekspo francais peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi tujuan mengawalselia industri ini juga, kerajaan telah mewujudkan Akta Francais Malaysia 1998 yang telah dikuatkuasakan pada 8 Oktober 1999.
Meskipun begitu, membangunkan perniagaan dan usahawan francais bukanlah satu perkara yang mudah. Perniagaan francais secara relatifnya masih baru di negara ini dan pastinya dalam proses pembangunan sebegini, terdapat masalah percubaan, kematangan dan salah tanggapan. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama erat Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan terus giat melaksanakan program-program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri kempen jalanan (road-shows) yang meliputi seminar dan pameran ke seluruh negara, kursus dan latihan pengurusan perniagaan francais serta persidangan dan ekspo francais peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi tujuan mengawalselia industri ini juga, kerajaan telah mewujudkan Akta Francais Malaysia 1998 yang telah dikuatkuasakan pada 8 Oktober 1999.
Rujukan :
No comments:
Post a Comment