Thursday, 17 October 2013

Langkah untuk Memupuk Budaya Inovasi dalam Organisasi

Organisasi yang mengamalkan budaya inovasi adalah sangat fleksibel. Setiap ahli dalam organisasi menghormati dan menghargai idea-idea kreatif yang dihasilkan oleh individu kreatif dalam organisasi tersebut. Sumbangan individu tersebut dianggap sebagai suatu yang bererti kepada kumpulan, pasukan dan organisasi. Struktur, sistem dan proses dalam organisasi cuba untuk menyesuaikan diri dengan individu tersebut. Ia adalah perubahan yang berterusan dalam organisasi dan pemimpin akan mengawal hak berinovasi, persoalan dan eksperimen dalam usaha mencapai matlamat. Pemimpin dalam organisasi akan cuba menghasilkan satu persekitaran kerja yang menggalakkan budaya inovasi tersebut.

Langkah pertama ialah mewujudkan satu integrasi menegak yang melibatkan komunikasi secara keseluruhan dalam organisasi tersebut. Pemimpin senior perlu memastikan bahawa terdapat cukup komunikasi menegak, pekerja-pekerja daripada tempat lain, jabatan berlainan, fungsi-fungsi, makmal dan projek, mempunyai cukup peluang untuk berbincang, bertemu dan berkenalan antara satu sama lain. Pemimpin yang berjaya akan memupuk komunikasi menegak dengan sering menghadiri mesyuarat, memerlukan cross-unit keahlian ke atas pasukan-pasukan utama dan memastikan juga bahagian-bahagian yang lain dalam bahagian-bahagian organisasi yang berbeza untuk berbincang antara satu dengan yang lain.

Langkah kedua, memperkukuh juara, para pemimpin perlu menghargai pekerja-pekerja yang memberikan idea. Sebagai contohnya 3M mengamalkan cara ini. Di mana mereka akan mengambil kira kesemua idea itu berharga sehinggalah seseorang itu membuktikan idea tersebut adalah salah. Begitu juga dengan Hewkett-Packard yang mempunyai rekod sebagai pemberi anugerah kepada pekerjanya untuk “meritorious defiance” yang menunjukkan rasa hormatnya kepada pekerja yang mempunyai kebijaksanaan. Penghargaan ke atas satu idea yang kreatif dalam sebuah organisasi boleh di lihat semasa mengadakan mesyuarat. Setiap orang mendengar pendapat orang lain. Mesyuarat biasanya akan digunakan sebagai satu tempat untuk bertukar-tukar pendapat dan idea. Perdebatan digalakkan dan sebarang konflik antara ahli adalah sesuatu yang positif. Persoalan sama ada berkaitan atau tidak dengan matlamat syarikat boleh dikemukakan. Uji kaji digalakkan dan risiko akan ditanggung.

Langkah ketiga, menggalakkan timbal balas, pemimpin perlu memastikan bahawa terdapat cukup mekanisme timbal balas agar apabila seorang pekerja telah menghasilkan sesuatu projek mereka akan mendapat timbal balas daripada pengguna berkenaan keberkesanan projek tersebut. Sebagai contohnya, syarikat seperti GE dan Hewkett-Packard para jurutera akan berjumpa para pengguna untuk mendapatkan respons sama ada idea baru itu berguna kepada mereka.

Langkah keempat, metriks untuk pembelajaran. Pengurus senior akan membentuk satu metrik untuk mendapatkan idea baru. Organisasi yang membuat kaedah ini berharap para pekerja akan bertemu dan berinteraksi dengan pelanggan, menjumpai vendors, menghadiri mesyuarat, menerbitkan dan membaca jurnal. Pemimpin akan menyediakan pembiayaan untuk memastikan cara ini berkesan. Peruntukan tersebut khas kepada mesin dan peralatan.

Langkah yang kelima ialah pemimpin dan ahli dalam organisasi tersebut seharusnya dapat menerima kesilapan dan gembira atas kesilapan tersebut. Inovasi bukan datang dengan sendirinya ianya datang daripada budaya yang dibentuk dan ini memerlukan pengurus senior untuk bekerja keras dalam menjaganya. Kesilapan yang wujud hendaklah di lihat sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Misalnya di syarikat 3M penyelidikan yang dilakukan tidak semuanya mendatangkan kejayaan tetapi daripada kesilapan dan eksperimen yang dilakukan mereka dapat memperbaiki kesilapan tersebut.

Langkah yang seterusnya ialah menghormati individu-individu yang kreatif. Setiap ahli dalam organisasi dibiarkan melakukan perkara yang mereka suka. Mereka dibenarkan membuat jadual kerja sendiri. Mereka dibenarkan untuk datang bekerja awal dan balik awal atau datang lewat dan balik lewat ataupun berada dalam pejabat sepanjang hari. Mereka tidak dipaksa bekerja untuk mengikuti peraturan syarikat atau mesyuarat. Apa yang paling penting ialah komitmen mereka terhadap matlamat organisasi.

Langkah berikut ialah menjunjung matlamat, semua ini bermula dari pihak atasan. Pasukan utama akan bertemu dan membincangkan matlamat bagi menghasilkan keluaran, meningkatkan prestasi, menambah kecekapan, dan keefisienan bagi setiap peringkat saluran penyelidikan dan pembangunan (R&D). Di samping itu, alat mengukur yang digunakan untuk menyokong setiap matlamat juga dibentuk sama ada secara kualitatif atau kuantitatif bagi memastikan setiap ahli berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai matlamat.

Selain itu, usaha juga perlu diadakan bagi memastikan setiap ahli komited terhadap matlamat. Matlamat yang telah dibentuk tidak akan dipaksakan ke atas para pekerja. Matlamat tersebut akan dibincangkan, disesuaikan dan diubah berdasarkan respons dari orang lain.

Di samping itu, sebagai tambahan, sebuah organisasi yang ingin mengamalkan budaya organisasi perlu juga mendapatkan sedikit-sebanyak nasihat daripada pakar. Pemimpin yang baik memahami bahawa soalan yang baik adalah lebih baik daripada satu arahan. Mereka kurang gemar untuk memberitahu para pekerja jawapan yang benar tetapi lebih kepada mencadangkan siapa yang menjadi pakar atau seseorang yang boleh di bawa berbincang bagi mendapatkan maklumat yang cukup sama ada dari dalam organisasi atau tidak.

Jelas di sini bahawa inovasi sebenarnya merupakan satu elemen yang penting dalam sebarang strategi syarikat. Organisasi yang mengamalkan budaya ini akan dapat bersaing dengan organisasi yang lain dalam persaingan yang sengit. Inovasi membantu sebuah organisasi untuk terus menghasilkan produk atau perkhidmatan. Inovasi membantu organisasi yang berada dalam peringkat matang untuk berkembang lagi bagi meneruskan hayat perniagaan tersebut dalam pasaran. Contoh jelas yang boleh diambil iktibar ialah seperti Microsoft di bawah pimpinan Bill Gates, beliau sentiasa berinovasi dalam industri perisian komputer dengan mempelbagaikan produk perisian dan meningkatkan lagi keupayaan perisian komputernya. Sehingga sekarang syarikat Microsoft menjadi ‘market leader’ dalam industri tersebut dan orang Jepun belum mampu meniru beliau dalam menghasilkan produk baru yang melibatkan perisian komputer.
 Rujukan : http://exikmkotakinabalu.blogspot.com/2009/02/memupuk-budaya-inovasi-dalam-organisasi.html



No comments:

Post a Comment