Perkataan inovasi berasal daripada bahasa Latin dan pada asalnya
membawa maksud ‘pembaharuan’. Kebanyakan orang mendefinisikan inovasi sebagai
pembangunan teknologi baru, atau aplikasi sesuatu teknologi dalam kegunaan
tertentu. Dalam kertas kerja ini inovasi didefinisikan sebagai kebolehan untuk
mencipta kemahiran di dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan peluang untuk
meningkatkan atau memperkayakan taraf hidup masyarakat. Harvard’s Theodore
Levitt mengatakan “innovation is doing new things”. Seorang usahawan yang
berjaya itu perlu berfikir dan melakukan sesuatu yang baru atau memperbaharui
yang lama dengan cara/jalan yang baru.
Drucker, Peter Ferdinand merupakan tokoh yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan inovasi dan ini diakui oleh beberapa pihak seperti Wall Street Journal dan Fortune.
“The dean of this country’s business and management philosophers.”
Drucker, Peter Ferdinand merupakan tokoh yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan inovasi dan ini diakui oleh beberapa pihak seperti Wall Street Journal dan Fortune.
“The dean of this country’s business and management philosophers.”
Wall Street Journal.
“Any book by Drucker is rewarding, and it is impossible to read the man without learning a lot...... Drucker’s ideas continue to display a force and resonance that leave him pretty much in a class by himself.”
Fortune.
Tujuan inovasi ialah untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan baru bagi para pengguna dengan teknologi sebagai terasnya. Namun demikian sesetengah orang berpendapat bahawa inovasi tidak semestinya melibatkan teknologi. Inovasi juga didefinisikan sebagai penciptaan cara-cara baru untuk menyampaikan nilai kepada pengguna. Prof. Hirotaka Takeuchi iaitu profesor bidang pemasaran dan perdagangan antarabangsa di Universiti Hitotsubashi mengatakan untuk menghasilkan inovasi, tidak semestinya ada individu-individu genius di dalam sesebuah organisasi korporat seperti yang dilakukan di Barat.
Di Jepun, inovasi dihasilkan oleh pasukan-pasukan projek kreatif yang dianggotai oleh para pengurus pertengahan. Mereka terdiri daripada para jurutera, para pengurus pengeluaran, para jurujual dan pengurus kualiti yang bekerja bersama-sama sejak mula hingga akhir dalam proses penciptaan inovasi. Di Barat, mereka lebih kepada penggunaan pasukan-pasukan fungsional yang berbeza-beza. Di Amerika, para pakar telah mencipta pelbagai cara penyelidikan dengan tujuan syarikat-syarikat dapat mencipta dan menjual produk baru yang berjaya dalam pasaran. Antara kaedah yang digunakan ialah survei, kumpulan fokus dan soal-selidik.
Di dalam syarikat-syarikat jepun, pasukan-pasukan projek kreatif berfungsi dengan berkesan kerana beberapa faktor. Pertama, pasukan-pasukan itu diberi matlamat yang jelas dan tepat berkenaan apa yang mesti mereka cipta atau hasilkan. Kedua, mereka diberi autonomi untuk mencapai matlamat bagi tugas yang dijalankan. Ketiga, anggota pasukan-pasukan itu dipilih sendiri oleh pucuk pimpinan syarikat.
Kita melihat di dalam syarikat Sharp, mereka menubuhkan pasukan-pasukan khas yang ditubuhkan untuk projek-projek mendesak atas arahan pemimpin. Apabila sesuatu projek itu disebut sebagai projek strategik yang penting, setiap anggota pasukan projek berkenaan di beri lencana emas untuk dipakai. Apabila ada mana-mana kakitangan syarikat itu diminta oleh pemakai lencana emas supaya membuat sesuatu tugas yang susah, orang itu akan cepat-cepat dan bermati-matian melakukan kerja tersebut.
Untuk menerangkan perkara ini, satu contoh dapat digunakan. Syarikat Matsushita Electric dulu lebih dikenal dengan gelaran maneshita, yang bermaksud “tukang tiru”. Walaupun ia sebuah syarikat yang besar dan berjaya ia bukan sebuah syarikat inovasi. Tetapi, sejak ia berjaya mencipta sebuah mesin pembuat roti automatik yang pertama di dunia dan diberi jenama Home Bakery, budaya syarikat itu bertukar sama sekali. Semenjak itu budaya korporat Matsushita Electric berubah daripada budaya meniru kepada budaya inovasi.
Mengkaji proses inovasi dalam suasana organisasi mewakili satu peralihan dari model resapan klasik dari segi beberapa perkara penting. Misalnya, proses inovasi dalam organisasi biasanya dianggap berjaya jika proses itu menyebabkan pelaksanaan (termasuk menginstitusikan idea baru itu), bukan hanya kepada keputusan untuk menerima sahaja. Tambahan pula, seperti yang disebutkan individu memainkan peranan yang aktif, kreatif dalam proses inovasi dengan memadankan inovasi itu dengan masalah organisasi yang dipersepsikan dan mungkin semasa mencipta semula inovasi itu.
Sebuah inovasi tidak patut dianggap sebagai satu yang tetap, tidak varian dan unsur statik dalam proses inovasi, tetapi juga sebagai idea yang longgar dan sebagai yang mudah disesuaikan yang seterusnya akan di definisi dan di definisi semula apabila proses inovasi itu berkembang. Untuk mencipta dan melaksanakan inovasi, Peter F. Drucker menyebut beberapa perkara yang mesti dilakukan, perkara-perkara yang lebih baik jangan dibuat, dan beberapa syarat.
Perkara-perkara yang mesti dilakukan:
Inovasi adalah bersifat konseptual dan perseptual.
Di dalam setiap inovasi terkandung konsep-konsep baru dan persepsi-persepsi baru. Inovasi bukan hasil analisis semata-mata. Ia melibatkan ketiga-tiganya, iaitu konsep, persepsi dan analisis fakta. Seorang inovator hendaklah terlebih dahulu mencipta konsep dan persepsi baru.
Inovasi adalah pengenal pasti peluang-peluang baru.
Para inovator didorong oleh peluang-peluang mencari keuntungan dengan cara memenuhi keperluan para pengguna. Untuk mengenal pasti peluang-peluang itu, mereka melakukan pemerhatian pada trend-trend, masalah-masalah dan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.
Untuk mencipta inovasi yang efektif, inovasi itu hendaklah bersifat simple.
Sesuatu inovasi hendaklah mempunyai fokus. Buat satu perkara saja. Kalau inovasi itu melibatkan macam-macam perkara, pengguna mudah keliru; kalau rosak pula, ia sukar diperbaiki; harganya pun mahal.
Inovasi yang efektif bermula secara kecil-kecilan.
Cita-cita yang terlalu besar akan menggagalkan usaha inovasi. Tujuan inovasi hendaklah spesifik. Kita perlu melaksanakan perkara yang sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu.
Aplikasi adalah faktor penting dalam inovasi. Jangan hanya memikirkan apa yang cuba dilakukan oleh inovasi itu. Fikirkan juga apa yang dapat mendorong supaya orang yang sepatutnya menggunakan inovasi itu, mahu menggunakannya. Kalau tidak, nanti akan berlaku keadaan di mana inovasinya betul, tetapi bentuknya salah, seperti yang berlaku kepada alat pembuka durian yang pernah dicipta pada satu masa dahulu. Hingga sekarang orang lebih suka menggunakan pisau biasa untuk membuka durian.
Inovasi-inovasi yang cuba mencipta kegunaan-kegunaan baru dan memasuki pasaran-pasaran baru mestilah dibuat berpandukan tujuan teknikal yang jelas, tepat, dan reka bentuknya memenuhi aplikasinya.
Jangan cuba membuat inovasi dalam banyak bidang. Kita boleh mempelbagaikan perniagaan, tetapi jangan mempelbagaikan inovasi. Jangan cuba melakukan semua perkara serentak. Inovasi memerlukan banyak sumber yang mesti diusahakan untuk mencapai kejayaan. Para inovator yang berjaya jarang berkarya lebih daripada satu bidang. Sebagai contoh, Thomas Edison, inventor yang memiliki lebih daripada seribu paten, hanya berkarya dalam bidang elektrik. Inovasi memaksa adanya kerja keras, kegigihan, ketabahan, tekad, dan kepakaran yang tinggi. Kepelbagaian inovasi akan mencairkan itu semua dan menempah kegagalan.
Perkara-perkara yang mesti dielakkan:
1. Jangan jadi terlampau cerdik. Semua jenis inovasi akhirnya akan digunakan oleh orang-orang biasa. Ada kalanya inovasi itu akan digunakan oleh orang-orang bodoh dan yang separuh bodoh. Kalau inovasi itu terlampau cerdik, ia pasti gagal. Kalau jurutaip terpaksa belajar sains komputer terlebih dahulu sebelum dia dapat menggunakan komputer, komputer itu pasti gagal.
2. Jangan mencipta inovasi untuk masa depan. Inovasi hendaklah dicipta untuk masa sekarang. “Apakah keperluan sekarang?”, itu yang mesti dijawab oleh inovasi, bukan “Apakah yang diperlukan 10 tahun dari sekarang?”. Memang inovasi boleh mempunyai kesan yang lama, tetapi untuk berjaya inovasi itu mesti ada aplikasi yang serta-merta.
Sebagai contohnya, komputer mula diperkenalkan dalam tahun 1940-an. Dalam tahun 1970-an barulah komputer digunakan secara besar-besaran dalam bidang perniagaan, iaitu kira-kira 25 tahun kemudian. Model-model komputer yang awal tidak dicipta untuk tujuan perniagaan. Model-model itu dicipta untuk memenuhi keperluan-keperluan pada tahun 1940-an iaitu kerja-kerja kira-mengira saintifik, kemudian menyediakan bayaran gaji, kemudian untuk mencipta alat komputer bagi melatih juruterbang dan seterusnya. Dua puluh lima tahun esok akan timbul keperluan-keperluan baru bagi komputer, tetapi buat hari ini, mereka mencipta komputer yang diperlukan pada hari ini.
Selain itu, sikap, nilai, norma dan struktur organisasi yang sesuai merupakan pra-syarat dalam menuju inovasi yang berjaya. Kejayaan kebanyakan syarikat perniagaan pada hari ini adalah disebabkan oleh adanya penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan di dalam sesebuah organisasi itu bagi mewujudkan inovasi. Dalam hal ini, kita boleh lihat 2 langkah awal dalam ‘kandungan asas’ kejayaan inovasi pada masa sekarang:
a) Komitmen pihak atasan (top management). Keseluruhan program atau projek yang dijalankan adalah di sokong sepenuhnya oleh pihak atasan. Sebagai contohnya, persaingan di dalam industri kalkulator, pihak pengurusan pertengahan Canon yang berjaya mencipta inovasi terhadap kalkulator kecil yang pertama di dunia telah mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pengurusan atasan tetapi pihak pengurusan atasan telah menolak cadangan supaya penemuan itu dikomersilkan akhirnya Canon telah dikalahkan oleh pesaingnya daripada Casio dan Sharp. Hanya selepas Canon melihat pihak Casio mengaut keuntungan yang banyak barulah ,mereka cuba memasuki pasaran tetapi itu pun dalam keadaan tergesa-gesa dan akhirnya mereka tewas dan mengalami kerugian.
b) Projek Juara, inovator yang bersemangat untuk memenuhi keperluan inovasi. Ianya mewujudkan tanggungjawab kepada reka bentuk program inovasi tersebut.
Membentuk Budaya Inovasi Usaha membentuk budaya ini merupakan tugas pemimpin dalam sebuah organisasi. Inovasi perlu dianggap sebagai satu strategi utama organisasi. Bagi menghasilkan budaya inovasi pada pelbagai peringkat dalam organisasi, tenaga dan idea-idea individu kreatif perlu difokuskan kepada mencapai matlamat organisasi. Kumpulan atau pasukan tertentu digunakan sebagai alat untuk mencapai cita-cita ini. Sebagai Contoh, Toyota telah mencipta sistem pengeluaran yang disebut JIT (Just In Time) atau ‘tepat-pada-masa’ (TPM). Dalam sistem ini, kilang Toyota beroperasi tanpa mempunyai inventori barang-barang separuh siap. Setiap tahap kerja pengeluaran mesti menerima bekalan barang-barang yang dikehendaki tepat pada masa dan dalam jumlah yang tepat. Toyota tidak perlu berbelanja untuk menyediakan stor atau penyeliaan stor. Sistem ini membantu Toyota mengurangkan kos dan menambah jumlah jenis produk yang dapat dikeluarkan.
Semua usaha ini memerlukan keseimbangan keperluan di antara individu, pasukan dan orang yang mempunyai kuasa dalam organisasi tersebut. Terdapat beberapa prinsip utama iaitu:
1. Keputusan berdasarkan matlamat yang jelas pada setiap masa.
2. Para pekerja sedar bahawa membantu pekerja lain menjadi inovatif adalah sebahagian daripada tugas mereka.
3. Para pekerja sanggup berkongsi idea kerana mereka akan mendapati pekerja lain akan membentuk dengan pelbagai cara dan akhirnya menguatkan idea tersebut.
4. Setiap orang dalam pasukan tersebut merasakan mereka masing-masing mempengaruhi situasi dalam kumpulan.
5. Eksperimen dihargai dan diharapkan daripada setiap pekerja dalam organisasi.
6. Kesilapan dianggap sebagai pengajaran. Pembelajaran digalakkan.
7. Para pekerja percaya bahawa pekerja yang lain akan mendengar, belajar daripada dan memberitahu mereka.
8. Inovasi adalah sebagai suatu yang perlu dicari bukan sebagai suatu yang perlu diurus.
No comments:
Post a Comment