Kreativiti dan inovasi merujuk kepada melakukan sesuatu di
luar kebiasaan. Kreativiti dan inovasi juga boleh dikaitkan dengan pembaharuan,
penambahbaikan, penciptaan dan penemuan.
Konsep kreativiti dan inovasi ini adalah
luas dan boleh diguna pakai di dalam pelbagai bidang dan keadaan, tidak
terkecuali bidang perniagaan.
Bisnes Adalah Kreativiti dan Inovasi
Dunia
perniagaan berkait rapat dengan kreativiti dan inovasi. Tanpa kreativiti dan
inovasi, dunia perniagaan akan kekal statik tanpa sebarang pembaharuan dan
perubahan.
Justeru,
usahawan yang membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan
mereka, akan lebih bergerak maju dan berjaya berbanding usahawan yang kekal
dengan model perniagaan tradisional, yang hanya mementingkan jualan semata-mata.
Kreativiti dan
inovasi di dalam dunia perniagaan boleh dilakukan dalam pelbagai cara.
Antaranya melalui produk, perkhidmatan, jenama, model perniagaan dan pemasaran.
Dengan kreativiti dan inovasi, sebarang produk atau
perkhidmatan yang ditawarkan, akan membentuk keunikan dan berbeza dengan produk
atau perkhidmatan yang sama yang telah sedia ada di pasaran. Di Malaysia, kita
mungkin mempunyai lebih 100 pengeluar kicap.
Tetapi apa
yang membezakan 100 pengeluar kicap tadi sehingga pengguna dapat membezakan di
antara kicap milik Abu dan kicap milik Ali? Jawapannya adalah sejauh mana
kreativiti dan inovasi digunakan bagi menonjolkan kelainan dan keunikan produk
masing-masing.
Kreativiti Meningkatkan Reputasi Bisnes – Google Inc.
Bagi menjelaskan bagaimana kreativiti dan inovasi boleh
membawa perubahan besar terhadap kedudukan dan reputasi perniagaan, saya
bawakan contoh syarikat Google Inc. Semua sedia maklum, terdapat banyak
syarikat yang menawarkan perkhidmatan carian laman web dan perkhidmatan emel.
Antaranya Yahoo dan
Bing untuk enjin carian, dan Yahoo Mail dan Hotmail untuk perkhidmatan emel.
Namun, apa yang membezakan enjin carian dan perkhidmatan emel Google dengan
enjin carian dan perkhidmatan emel dari syarikat lain?
Jawapannya sekali lagi berkait rapat dengan kreativiti
dan inovasi. Google memberi nafas baru kepada dunia carian web dengan
menggabungkan pelbagai metod dan sumber carian seperti carian gambar, peta,
berita, buku dan sebagainya di dalam satu portal carian.
Malah, enjin carian Google juga diintegrasikan bersama
perkhidmatan emel di dalam satu akaun yang dikenali sebagai Google Account.
Jika anda telah memiliki Google Account, anda boleh mengakses hampir ke semua
perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google seperti Gmail, Blogger dan YouTube.
Bagi
perkhidmatan emel pula, Google telah melakukan satu inovasi yang cukup
menakjubkan di mana fungsi emel dan teknologi pengkomputeran awan, atau cloud computing telah
gabungkan.
Setiap fail
lampiran yang berbentuk dokumen seperti dokumen berformat PDF, Microsoft Word,
Excel dan Powerpoint tidak perlu dimuat turun untuk melihat atau membuka
kandungannya. Kita hanya perlu klik pada pautan ‘view’ atau ‘lihat’ pada lampiran, dan satu
tetingkap atau tab akan dibuka bagi memaparkan dokumen di dalam lampiran
tersebut.
Tidak berhenti
setakat itu, dokumen dalam lampiran tadi boleh diubah suai menggunakan
perkhidmatan Google Docs, yang mampu berfungsi sebagaimana perisian pejabat
seperti Microsoft Office atau Open Office.
Dokumen tadi
pula boleh disimpan di dalam storan yang disediakan oleh perkhidmatan Google
Docs ini. Ini bermakna, kita boleh melakukan tugasan pejabat harian hanya
menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google. Apa yang
perlu hanya sambungan internet.
Itu antara
bentuk kreativiti dan inovasi yang dilakukan oleh Google bagi memaparkan
kelainan dan membentuk keunikan terhadap perkhidmatan enjin carian dan
perkhidmatan emel yang ditawarkan.
Memusnahkan Pesaing – Kuasa Inovasi Google
Ketika ini, Google jauh mengungguli dunia carian web dan
perkhidmatan emel berbanding pesaing-pesaingnya seperti Yahoo dan MSN. Malah
ada di antara pesaing-pesaing Google ini yang cuba meniru konsep perkhidmatan, dan
model perniagaan, yang dilakukan oleh Google dengan tujuan untuk menarik minat
pengguna.
Walaubagaimanapun, Google tetap menjadi pilihan pengguna
berdasarkan reputasi dan nilai kreativiti dan inovasi yang dipeloporinya.
Begitulah berkuasanya kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan.
Justeru, jika
kita merupakan seorang pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan, cuba
terapkan nilai kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan anda. Galakkan
pekerja-pekerja kita memberikan sebarang idea bagi menyemai elemen kreativiti
dan inovasi.
Kreativiti dan
inovasi bermula dengan idea. Justeru, latih diri kita dan orang di sekitar kita
untuk menghormati dan menghargai idea yang dilontarkan oleh orang lain kerana
kita tidak tahu, idea tersebut mungkin akan membawa perubahan besar terhadap
perniagaan kita.
Kreativiti dan Inovasi – Punca Survival Bisnes
Kesimpulannya,
kreativiti dan inovasi amat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan
yang berdaya maju dan kompetitif agar dapat bersaing dalam dunia yang semakin
mencabar ketika ini.
Mereka yang
mengabaikan nilai-nilai kreativiti dan inovasi akan ketinggalan dan akan terus
berada di belakang pesaing-pesaing yang terus-menerus mengeluarkan produk atau
perkhidmatan yang inovatif selaras dengan perkembangan dunia semasa.
No comments:
Post a Comment